KUALA LUMPUR: Hakim Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur hari ini menegur pihak pembelaan kes khalwat Memey Suhaiza dan Norman Hakim kerana sering mengakibatkan prosiding tertangguh.
Hakim Syarie Wan Mahiyuddin Wan Muhammad ketika menamatkan prosiding berkata, tiga prosiding lepas terpaksa ditangguhkan atas pelbagai masalah teknikal termasuk hari ini kerana peguam kedua-dua pelakon berkenaan gagal hadir kerana sakit.
"Harap persiapan rapi dibuat selepas ini untuk menyelesaikan kes dalam kadar munasabah (dan) supaya sebarang masalah teknikal dapat diatasi dengan baik.
"Pihak pendakwa juga perlu menyusun jadual agar soal jawab melibatkan saksi dapat diselesaikan pada perbicaraan bermula pagi sehingga petang," katanya.
Norman Hakim atau nama sebenarnya Mohamed Norhakim Zaidon, 33, dan pelakon baru Memey atau Suhaizah Suhaimi, 21, yang biasanya diwakili peguam syarie Fakhrul Azman Abu Hassan digantikan dengan wakilnya, Irsamuddin Ikhsan.







